Solat si Anak dan Kewajipan Menyuruh dari Ibubapa

tip didik anak cara rasulullah, tip didik anak solat

Mungkin beginilah perasaan ibu saya dahulu. Mungkin begini jugalah perasaan para ibu solehah yang sentiasa komited untuk menyuruh anak mereka mengerjakan solat. Kita semua ingin menjadi isteri dan ibu yang Solehah. Insya Allah..

Susah dan Suruh

Sejak anak sulung berusia 7 tahun (2014), saya merasainya. Lelaki pula tu. Sungguh! Perasaan “susah” itu timbul juga untuk memastikan mereka bersolat. Solat main-main, solat lambat-lambat, mahu mengelat dan bermacam-macam lagi. Ya, “penat dan susah” mahu menyuruh. Setiap waktu, 5 kali sehari, dan setiap hari!. Lebih-lebih lagi waktu subuh. Kadang-kadang terasa seperti, “tak laratnya mulut ini untuk menyuruh”, “tak apalah, kecil lagi, biarlah”. Yalah, siapa suka untuk sentiasa disuruh berulang-ulang kali dan kita pula untuk mengulang benda yang sama setiap hari.

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْها لا نَسْئَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعاقِبَةُ لِلتَّقْوى{ – 132}

“ Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (Surah Taha: 132)

Tapi perasaan itu dibuang jauh-jauh kerana lebih meyakini akan apa yang Nabi SAW perintahkan kepada kita dalam urusan menyuruh dan mengajarkan anak solat ini.

Solat itu Nadi

Solat itu umpama nadi bagi tubuh badan. Ibarat tiang bagi sebuah bangunan. Mana mungkin diri akan hidup tanpa nadi dan bangunan akan kukuh tanpa tiang.

Rasulullah ﷺ bersabda:

“مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ”  (وصححه الألباني في “الإرواء”، رقم 247)

“Perintahkan anak-anak kalian untuk melakukan solat ketika usia mereka tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun. Dan pisahkan tempat tidur mereka.” Abu Daud (no. 495) dan Ahmad (6650) (Dishahihkan oleh Al-Albany dalam Irwa’u Ghalil, no. 247)

Ibnu Qudamah rahimahullah berkata dalam kitab Al-Mughni (1/357):

“Perintah dan pengajaran ini berlaku bagi anak-anak agar mereka terbiasa melakukan Solat dan tidak meninggalkannya ketika sudah baligh.”

Allahu Akbar!

Kisah Emak & Diri tentang Solat

Saya terkenangkan cara emak dahulu untuk memastikan saya bersolat sewaktu kecil. Rasanya, itulah antara sikap kanak-kanak yang tidak dapat dipisahkan. Bagai aur dan tebing, ibarat isi dan kuku. Hehe. Masa solat main-main, siap boleh berborak pula, solat ibarat burung belatuk dan seumpamanya lagi. Namun, emak tetap komited untuk menyuruh dan bertanya sudah solat atau belum.

Rasanya pernah juga seingat saya, kerana ingin segera keluar bermain, saya “buat-buat tak dengar” soalan emak, “sudah sembahyang ka belum?”. Saya tahu saya solat dan baca “cepat-cepat” agar segera dapat keluar bermain, saya jawab, “dah” dan terus berlari keluar pintu untuk bermain. Ya Allah ampunkan diriku.. Ada ketika, emak menyuruh untuk bersolat dihadapan emak dengan bacaan yang kuat. Namun, saya yakin, kerana itulah telah menjadikan diri untuk “melekat” dan tidak meninggalkan solat. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah atas kurniaan ibu yang solehah untuk diri. Terima kasih emak!

Sekarang, tiba giliran saya pula setelah menjadi ibu. Putaran roda kehidupan cepat sangat berpusing.

Langkah untuk memastikan anak-anak bersolat. InsyaAllah mudah-mudahan mereka membesar menjadi hamba Allah yang bertaqwa. Semoga tip didik anak cara rasulullah dapat dijadikan panduan untuk kita mendidik anak dengan solat ini.

Saya juga seperti kebanyakan ibu yang lain, turut membaca dan bertanya untuk belajar daripada mereka yang lebih berpengalaman. Banyak perkara yang saya dapat. insyaAllah mudah-mudahan bermanfaat. Saya sedar beberapa perkara bahawa dengan kudrat dan kemampuan yang kita ada, kita masih boleh memastikan mereka untuk bersolat. Malah mungkin tanpa disuruh.

BERMULA DARI KITA yang sentiasa komited. Yang lain, apabila dibelakang kita, kita serahkan segala urusan kepada Allah. Mudah-mudahan hanya Allah yang akan menjaga mereka. Membentuk taqwa di dalam diri mereka.

Namun, apa yang boleh kita lakukan:

  1. Solat berjemaah. Sekeluarga, atau bersama ibu

Jadikan rutin untuk solat berjemaah bersama keluarga sebagai satu KEMESTIAN. Dengan ini, tiada lagi “mengelat” dari si anak untuk tidak bersolat kerana semua ahli keluarga turut bersama. Ia juga akan mengeratkan hubungan kekeluargaan (Family Bonding Time), hanya Allah sahaja yang mampu untuk mengikat hati antara hamba-hambanya.

Jika si bapa tidak berada dirumah, ibu perlu memainkan peranan untuk menyuruh si abang menjadi imam. Kita sebagai ibu pula “menjadi makmum”. Waktu ini jugalah kita boleh recall semula bacaan hafazan surah-surah yang telah dihafaz atau baru dihafaz.

  1. Solat di Masjid

Adalah lebih baik, jika anak lelaki dapat bersolat berjemaah di masjid bersama bapa mereka. Mudah-mudahan insyaAllah mereka membesar sebagai seorang lelaki yang hati dan jiwa mereka cinta dan lekat dengan masjid.

Seperti di dalam hadis. Terdapat tujuh (7) golongan yang mendapat naungan (perlindungan) Allah SWT di Hari Kiamat kelak. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah R.A, Rasulullah ﷺ bersabda:

قَالَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ، فِي ظِلِّهِ، يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ، اْلإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْمَسَاجِدِ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللَّهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ، وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ طَلَبَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ، وَجَمَالٍ، فَقَالَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ أَخْفَى، حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللَّهَ خَالِيًا، فَفَاضَتْ عَيْنَاه. (صحيح البخاري)

“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.  (1) Pemimpin yang adil, (2) Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada (3) SEORANG YANG HATINYA SELALU TERIKAT PADA MASJID, (4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, (5) Seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah’, (6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta (7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.” (Sahih Bukhari, Hadis no 620)

  1. Bercerita tentang solat, kesan dan akibat

Ada masa yang sesuai, mungkin sebelum solat, selepas solat, atau sebelum tidur, kita bercerita tentang solat. Kenapa kita perlu bersolat. Akibat dan kesan jika tidak bersolat, dan seumpamanya. Mahu tidak mahu, ibubapa perlu juga membaca untuk menambahkan ilmu dalam memberi penerangan yang sesuai dengan usia si anak.

  1. Menyuruh

Jika tidak, menyuruh dan bertanya samada sudah bersolat atau belum. Jika, belum hendaklah disuruh. Apapun, ibubapa perlu menjadi contoh tauladan untuk anak-anak. Jika mereka melihat ibu atau bapa tidak bersolat, bagaimana mungkin pada rasionalnya mereka perlu bersolat. Mengikut kreativiti ibubapa, bagaimana untuk menanamkan cinta mereka kepada solat dan lain-lain. Mungkin berupa reward, hadiah, pujian dan sebagainya. Hadiah atau reward yang diberikan perlu diterangkan, itu adalah kerana kebaikan apa yang mereka lakukan. Katakan juga, Itu baharu hadiah daripada ibubapa, belum lagi hadiah daripada Allah. Allah akan berikan hadiah yang lebih hebat dan istimewa untuk mereka yang mengikut perintah Allah di akhirat kelak. InsyaAllah lama kelamaan mereka akan lakukan bukan hanya inginkan “reward ibubapa” sahaja, tetapi sebaliknya keyakinan “reward daripada Allah”. InsyaAllah..

  1. Berdoa

Doa adalah kuncinya. Apa jua urusan kembalikan kepada Allah. Hanya Allah sahaja yang mampu menggerakkan hati-hati manusia.

KEWAJIPAN itu pada MENYURUH

Kesimpulannya, KEWAJIPAN itu bukanlah terletak kepada kewajipan si anak untuk mengerjakan solat. Sebaliknya KEWAJIPAN kepada ibubapa untuk MENYURUH  mereka mengerjakan solat. Nasihat buat diri, insyaAllah sentiasalah komited dan tidak usah jemu untuk melatih, mengajak, menyuruh anak-anak mengerjakan solat. Mudah-mudahan ada kebaikan untuk kita dan mereka di dunia dan di akhirat. Untuk anak yang berusia bawah tujuh tahun, tidak perlulah untuk menyuruh lagi, sebaliknya mengajak dan menunjukkan tauladan. Jika si anak tidak mahu, usah dipaksa atau mengugut.

Semoga kita semua dikumpulkan di dalam syurgaNya. InsyaAllah..Amiin..

Salam Hormat,

Mardiana Mat Ishak

www.SmartSuperwoman.com

Dapatkan Email dan Tip-tip dari Smart Superwoman Percuma!

Daftar sekarang dan terima emel berkaitan SmartSuperwoman.com terus ke inbox anda!

I agree to have my personal information transfered to AWeber ( more information )

*Kami juga membenci spam. Emel anda selamat bersama kami. Anda boleh berhenti langgan bila-bila masa sahaja.

Mardiana Mat Ishak

Mardiana Mat Ishak

Mardiana Mat Ishak merupakan Mantan Pensyarah UIAM, Penulis, Woman's Work Life Balance Coach, Trainer, dan Speaker. Beliau sangat aktif menulis di blog, artikel dan buku tentang Cinta dan Perkahwinan, Wanita dan Kerjaya, Rumahtangga, dan Anak-anak. Antara buku tulisan beliau "Bahagianya Menjadi Pengantin Sepanjang Masa", "Superwoman", "Dahsyatnya Doa Isteri", "Tuhan, Tempahkan Untukku Mahligai di Syurga", "20 Tips, Tricks & Truth for Master Ph.D Mommy & Graduate Before Time" (Free Ebook) dan terbaru ebook "Design Your RouTime in 2 Days". Kini beliau membuat e-Coaching untuk wanita yang mahu mempelajari Pelbagai Strategi, Formula, Teknik, Taktik dan Tip yang Sistematik, Praktikal & Produktif dalam mengurus rumahtangga dan kerjaya A-Z di SmartSuperwoman.com untuk menjadi wanita yang lebih produktif!.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.